GWM Malaysia rasmi melancarkan ‘SUV Terlaris di China’ Haval H6 menerusi varian Ultra pada harga RM139,800.
Sebanyak 100 pertama Haval H6 Hybrid ditawarkan dalam versi import (CBU) sebelum beralih kepada model pemasangan tempatan (CKD).
Sempena pelancaran model berkenaan, GWM Malaysia memberi tawaran istimewa:
- Nikmati rebat RM3,000 apabila membuat tempahan sebelum 20 October 2024
- Penyelenggaraan percuma 5 tahun kepada pemilik GWM Haval H6 HEV pada 2024.
- Rebat tambahan RM3,000 kepada pemilik kenderaan GWM sedia ada.
Model itu didatangkan dengan enjin 1.5 liter turbo 4-silinder yang menghasilkan kuasa 150PS dan tork 230Nm dengan motor elektrik (177PS/300Nm).
Ini menjadikan keseluruhan output yang ditawarkan adalah 243PS dan tork 530Nm yang kemudian dipadankan dengan transmisi dedicated hibrid (DHT) dua kelajuan.
Pecutan 0-100kmj mampu dicapai dalam tempoh 7.7 saat (kawalan launch) dengan kelajuan maksimum 175kmj manakala di atas kertas kadar penggunaan bahan api adalah 5.8 liter setiap 100km.
TERBESAR DALAM SEGMENNYA
SUV segmen-C itu merupakan yang terbesar dalam kelasnya dengan panjang 4,683mm, lebar (1,886mm) dan tinggi (1,730mm) serta jarak roda 2,738mm.
Sebagai perbandingan, Haval H6 memiliki kelebihan panjang 157mm, lebar (+55mm), tinggi (+36mm) serta jarak roda (+68mm) berbanding pesaingnya, Proton X70.
Sementara saiz tangki minyaknya adalah 61 liter manakala X70 bersaiz 60 liter. Tawaran but 560 liter mampu memuatkan barangan lima penumpang ketika perjalanan jauh.
LUARAN & KABIN
Penampilan luaran Haval H6 dipadankan dengan lampu depan matrix LED dan rim aloi 19-inci kemasan hitam berkilat bersama gril rekaan ‘Star Matrix’. Selain itu, ciri LED turut didatangkan pada lampu nyala siang (DRL), belakang dan kabus.
Masuk ke kabin, bumbung suria memberikan rasa lapang dan pencahayaan tambahan. Ciri peralatan lain yang ditawarkan termasuklah kawalan pendingin hawa dua zon, corong AC penumpang belakang, cermin pandang belakang auto malap, pintu but berkuasa elektrik dengan sensor kaki, pengecas Qi, paparan head up dan sistem audio 8-pembesar suara.
Sistem infotainmen bersaiz 12.3 inci pula didatangkan dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto menggunakan wayar serta kluster instrumen bersaiz 10.25 inci.
CIRI KESELAMATAN
Demi ketenangan minda pemilik, Haval H6 Hybrid didatangkan dengan enam beg udra, kamera 360 darjah dan sistem bantuan parkir.
Manakala Sistem Keselamatan Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) merangkumi amaran perlanggaran depan (FCW + AEB), bantuan kruise adaptif (ICA), kecemasan kekal lorong (ELK), amaran trafik belakang (RCTA), bantuan tukar lorong dan lain-lain.
Ini Tawaran Waranti Membabitkan:
- Waranti enjin 10 tahun atau 1,000,000km
- Waranti sistem HEV 8 tahun atau 1,000,000km
- Waranti Penuh Kenderaan 7 tahun atau 200,000km