Bertempat di Everland Speedway, Yong-in, Korea Selatan, dua gergasi automotif dunia bakal ‘bertembung’ dalam satu festival perlumbaan yang dinamakan sebagai ‘Hyundai N x Toyota Gazoo Racing Festival’ pada 27 Oktober ini.
Acara tersebut bakal membariskan beberapa model berprestasi tinggi daripada jenama Korea dan Jepun, seperti contoh Toyota GR Supra, Toyota GR86, Hyundai Elantra N, dan Hyundai Ioniq 5 N.
Pengunjung juga berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat jentera rali GR Yaris, serta dua buah model konsep yang dibangunkan oleh Toyota, iaitu AE86 H2 dan GR Corolla berkuasa hidrogen.
Hyundai juga dalam masa yang sama mempamerkan konsep berkuasa hidrogen N Vision 74, Ioniq 5 N TA Spec, serta dua jentera rali iaitu i20 N Rally 1 Hybrid dan i20 N Rally 2.
Menurut Toyota dan Hyundai, acara festival ini akan berfungsi sebagai ‘kerjasama sulung’ antara kedua jenama tersebut, berkemungkinan besar meluaskan kerjasama terutama dalam bidang rangkaian kuasa hidrogen.
Berdasarkan akhbar The Korea Economic Daily, presiden Toyota dan Hyundai dilapor mengadakan pertemuan dalam tempoh beberapa hari sebelum festival untuk membincangkan perkara tersebut melihatkan kepada komitmen kedua-dua syarikat itu terhadap kenderaan sel bahan api (FCEV).
Berita ini dilihat menguatkan lagi kemungkinan kewujudan kerjasama antara syarikat Korea dan Jepun itu demi memberikan saingan yang sengit kepada pengeluar China di luar sana.