Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Putrajaya, Datuk Khirudin Drahman Hussain berkata antara Januari dan September tahun ini sebanyak empat unit kereta elektrik (EV) dilaporkan terbakar.
Insiden kebakaran berkenaan berlaku ketika pengecasan dan tiga lagi akibat kemalangan, dipercayai disebabkan oleh ‘thermal runaway’ di tempat simpanan bateri.
Di bawah garis panduan keselamatan kebakaran baharu, Khirudin berkata ruang pengecasan EV perlu menyediakan selimut api.
“Pemilik EV perlu elak pengecasan berlebihan, memantau sesi pengecasan dan memastikan kenderaan mereka tidak terdedah kepada haba atau serpihan yang melampau.
“Ia boleh mengambil masa dari lima hingga 24 jam untuk memadamkan sepenuhnya kebakaran EV, bergantung pada saiz bateri (kWj) dan kebakaran yang terlibat.
“Susulan ‘thermal runaway’, haba yang tinggi dan proses deflagrasi yang cepat menyebabkan kebakaran EV sukar dipadamkan dengan serbuk kering ABC biasa atau air melainkan kenderaan itu ditutupi dengan ais,” katanya.
Tambah beliau, buat masa ini air dan selimut api khas digunakan bagi memadamkan kebakaran EV.
Bagaimanapun, langkah berkenaan hanya bagi menghindari api daripada merebak dan bukannya memadamkan kebakaran sepenuhnya.
Khirudin berkata anggota bomba di lokasi strategik sedang menjalani latihan dan pendedahan tentang kebakaran EV dan pengendaliannya memerlukan langkah berjaga-jaga tambahan dan memakai set lengkap peralatan perlindungan diri dengan alat pernafasan.
Beliau berkata ini kerana EV boleh menghasilkan atau melepaskan gas toksik kemungkinan menerusi “penyalahgunaan sel bateri” berbanding enjin pembakaran dalaman.
Khirudin juga berkata kebakaran yang melibatkan bateri EV boleh membawa kepada letupan awan wap, dengan kemungkinan 70 peratus di ruang bawah tanah atau kawasan tertutup, akhirnya menghasilkan gas yang sangat toksik.