Isuzu D-Max membuktikan kemampuan penjimatan bahan apinya sekali lagi selepas tiga unit model terkininya berjaya mencatatkan perjalanan jarak 2,000 km dengan satu tangki bahan api berkapasiti 76 liter.
Ini menambah lagi pencapaian yang pernah diraih oleh trak pikap itu yang pernah menamatkan perjalanan dari Bangkok ke Singapura dengan menempuh jarak sejauh 1,809 km hanya dengan satu tangki diesel.
Selain itu, syarikat berkenaan berjaya menguji model 1.9 liter Single Cab dengan beban satu tan dan mencapai jarak lebih 1,000 km dengan hanya satu tangki penuh bahan api.
Walaupun kenderaan berkenaan terpaksa menempuh tiga kawasan pergunungan yang masing-masing mempunyai ketinggian 1,000 meter dari paras laut.
Satu tangki, 2,000km!
Dalam pencapaian yang terbaharu, Dura Miles Challenge anjuran Isuzu Malaysia menguji pula kemampuan tiga unit berbeza Isuzu D-Max 1.9 liter 4×2 Auto Plus, 1.9 liter 4×4 Auto Premium dan 3.0 liter 4×4 X-Terrain dengan memandunya dari Phitsanulok, Thailand yang berada kira-kira 300 km di utara Bangkok sebelum tiba di Klang, Selangor.
Ini adalah kali pertama syarikat itu melakukan ujian sedemikian terhadap Isuzu D-Max generasi ketiga yang terbaharu berkenaan. Tidak hanya menampilkan gaya dengan rekaan luaran aerodinamik, Isuzu D-Max 2024 juga menampilkan enjin Euro 4 yang dipertingkat, yang memberikan janaan kuasa dan kecekapan bahan api sekali gus.
Ujian ini turut disaksikan oleh pegawai teknikal daripada Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) yang melekatkan pelekat keselamatan tangki minyak, sekali gus menjadi pemerhati bagi memastikan tiada isian semula dilakukan sepanjang perjalanan.
Hal ini juga turut menyenaraikan Isuzu D-Max ke dalam Malaysian Book of Records bagi “Trak Pikap Yang Paling Jauh Dipandu Dengan Satu Tangki Bahan Api”.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe berkata kejayaan itu membuktikan kecemerlangan kejuruteraan Isuzu dalam membangunkan enjin diesel Blue Power yang memberikan prestasi di luar jangkaan kebiasaan penggunaannya.
“Walaupun kami tidak menjangkakan setiap pelanggan akan memandu kenderaan Isuzu mereka sejauh 2,000 km bagi setiap isian bahan api, ia jelas menunjukkan tahap kejuruteraan yang diberikan terhadap setiap kenderan Isuzu untuk membolehkannya mencapai keupayaan dalam skala terbabit,” ujar Okazoe.
Ketika majlis berkenaan, Okazoe yang turut disertai oleh Ketua Pegawai Operasi, Bahagian Kenderaan Perdagangan Ringan, Kenkichi Sogo turut diserahkan sijil penyempurnaan cabaran daripada Ketua Setiausaha MAM, S. N. Nanthan dan Pemerhati Muhammad Siraj dan sijil pencapaian daripada wakil Malaysian Book of Records, Edwin Yeoh dan Mohd Nazrul.