Yamaha MT-09 2024: Banyak ciri baharu, harga bermula RM57,998

194

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan motosikal naked menerusi model generasi baharu, Yamaha MT-09 2024 untuk tempatan.

Motosikal yang dijual bermula RM57,998 itu kini menerima beberapa pembaharuan dari segi reka bentuk, casis dan teknologi terkini. 



Dari segi reka bentuknya, ia menerima perumah lampu yang baharu untuk membezakan dengan model sebelum ini, selain tangki bahan api yang berlainan berbanding sebelumnya. 

Pada bahagian tangki itu, turut terdapat seperti pembesar suara. Ia sebenarnya untuk menyalurkan bunyi enjin kepada penunggang bagi memberi pengalaman yang lebih menarik.

Rekaan tempat duduknya berbeza, yang mana pelana berasingan antara penunggang serta pembonceng.

Suspensi menggunakan fork USD 41mm dari KYB (boleh laras) sementara bahagian belakang dikendalikan penyerap hentak KYB (boleh laras). Menariknya, ciri ‘spring’ dan ‘damping’ ditala semula agar lebih selari dengan tayar baharu yang diperkenalkan.

Selain itu, ia dipadankan rim 17-inci yang dibaluti tayar Bridgestone Battlax Hypersport S23 baharu.

Kuasa hentian dipertingkatkan dengan ‘radial master cylinder’ dari Brembo bersama cakera brek (berkembar) 298mm depan dan cakera brek (tunggal) 245mm belakang. Seperti biasa, ABS didatangkan secara standard. 

Dari segi prestasinya, Yamaha MT-09 2024 masih menggunakan enjin CP3 tiga silinder 890cc dengan sistem penyejukan cecair. Ia menyalurkan 119PS dan 93Nm.

Kuasa itu disalurkan ke transmisi enam kelajuan dengan bantuan sistem ‘quickshifter’ generasi ketiga Yamaha. 

Teknologi pun baharu membabitkan panel meter TFT 5-inci yang boleh disambung ke telefon pintar dengan fungsi navigasi menerusi aplikasi Garmin StreetCross.

Apa yang menariknya, lima mod ditawarkan membabitkan Sport, Street, Rain dan dua mod kustom. Yamaha MT-09 2024 turut hadir dengan ‘cruise control’.

Bagi memberi tunggang yang selesa untuk semua penunggang, jentera itu kini mempunyai ciri hendal dan tempat pemijak kaki yang boleh ubah. 

Dua pilihan warna ditawarkan membabitkan Midnight Cyan dan Tech Black. Jentera itu akan berada di pengedar Yamaha bermula 15 Oktober ini. 

Galeri Gambar

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here