Sime Darby Motors, pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia rasmi memperkenalkan MPV elektrik tujuh kerusi, M6.
Pasaran tempatan didatangkan dengan dua pilihan varian iaitu :
- M6 Standard : RM109,800
- M6 Extended : RM123,800
Varian Standard didatangkan dengan bateri fosfat iron litium (LFP) Blade 55.4kWh bersama motor elektrik yang diletakkan pada bahagian depan.
Ia menawarkan output kuasa 163PS dan tork 310Nm dengan jarak pemanduan sejauh 420km. Pecutan 0-100kmj mampu dicapai dalam tempoh 10.1 saat.
Sementara varian Extended mendapat bateri lebih besar iaitu 71.8kWh dengan jarak perbatuan 530km.
Motornya memiliki output lebih tinggi iaitu 204PS dan tork 310Nm yang turut boleh didapati pada model Atto 3. Pecutan 0-100kmj mampu dicapai dalam tempoh 8.6 saat dengan kelajuan maksimum 180kmj.
M6 Standard didatangkan dengan pengecasan DC 89kW manakala varian Extended sehingga 115kW. Pengecasan bateri daripada 10 hingga 80 peratus mengambil masa 40 minit manakala jenis AC terhad 7kW pada kedua-dua varian.
PENGGAYAAN TAJAM DAN TAWARAN KABIN LAPANG
Dimensi MPV M6 hampir sama dengan Toyota Innova Zenix dengan panjang 4,710mm, lebar (1,810mm) dan tinggi (1,690mm) serta jarak roda 2,800mm.
Ia menampilkan penggayaan tajam di bahagian depan dengan kemasan bar perak menempatkan lencana ‘BYD’ dan diapit bersama lampu utama LED.
Di belakang, BYD memilih rekaan lampu yang ditarik sepanjang but bersama sisipan krom di atasnya. Kedua-dua varian menggunakan rim yang sama bersaiz 17 inci.
Kabin M6 menawarkan ruang yang luas buat kepala dan kaki pada kesemua barisan kerusi. Kereta elektrik (EV) itu didatangkan dengan skrin infotainmen bersaiz 10.1 inci sehingga 12.8-inci dan boleh berputar bagi menawarkan bentangan menegak mahupun melintang.
Spesifikasi standard termasuklah kemasan kulit tiruan, paparan instrumen analog dengan skrin multi info TFT 5-inci, keyless entry, punat mula/henti, kad kunci NFC, enam pembesar suara, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, V2L, brek parkir elektrik, penapis udara 2.5 dan lain-lain.
Varian Extended memiliki tambahan bumbung kaca panorama, pelarasan kerusi pemandu 6-cara, pengecas Qi, pedal aloi, rak bumbung, pintu but berkuasa elektrik dan lampu tinggi automatik.
M6 didatangkan dengan enam bag udara, kawalan kestabilan, kawalan traksi, kamera 360 darjah, sensor parkir serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).
EV itu didatangkan dengan waranti kenderaan 6 tahun atau 150,000km, jaminan bateri 8-tahun atau 160,000km serta waranti unit pacuan 8-tahun atau 150,000km (mana tiba dahulu).