Pemandu wanita didakwa bawah Seksyen 302, kes kemalangan pelajar UiTM

147

Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Dungun pada Selasa atas tiga pertuduhan melanggar empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun, 9 Oktober lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan ke atas tertuduh, Norizan Ismail, 49, dibacakan di hadapan Majistret, Nur Amira Fatihah Osman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap tiga pelajar, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20 dan Khairil Jamaludin, 20.



Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Pantai, hadapan UiTM Dungun jam 7.35 malam.

Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Bagaimananapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan.

 

Sementara itu, sepanjang prosiding tersebut tertuduh yang berpakaian lokap polis berwarna oren kelihatan resah dan sugul.

Pendakwaan ke atas tertuduh dijalankan Timbalan Pendakwa Raya merangkap Pengarah Pendakwaan Negeri, Azizan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwin.

Dalam kejadian pada 9 Oktober lalu, wanita itu yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar berkenaan yang dalam perjalanan pulang ke kampus selepas menyertai aktiviti riadah dan makan malam.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here