Unit ujian Honda Prelude dikesan di Eropah, mungkin hadir dengan transmisi manual

14

Unit ujian kereta sports coupe Honda Prelude sudah mula dikesan sedang menjalani ujian di jalan raya Eropah.

Menurut laporan Autocar, Honda akan menghidupkan semula nama Prelude pada tahun 2026 setelah plet nama ikonik itu ‘tidur’ lebih dari 20 tahun.

Berdasarkan beberapa laporan terdahulu, Honda Prelude akan dibina berdasarkan platform Civic dan diposisikan sebagai produk halo menampilkan teknologi elektrifikasi (e:HEV).



Kereta Prelude yang sedang diuji itu biarpun sarat dengan pelekat samaran, namun bentuk badannya tidak jauh beza berbanding apa yang telah diperlihatkan sebelum ini di Japan Mobility Show 2023.

Lebih menarik perhatian, Honda akan turut menawarkan kotak gear manual, atau sekurang-kurangnya sistem yang mampu mensimulasikan penukaran gear manual.

Ketua projek Honda, Tomoyuki Yamagami berkata, “keseronokan pemanduan merupakan prioriti utama kami.”

“Saya merupakan peminat besar kereta manual, dan saya amat suka kenderaan manual. Apa yang saya boleh cakap, (transmisi manual) merupakan sesuatu yang saya mahukan (pada model Prelude).

“Dengan transmisi manual, ia akan menjadi sebuah kereta yang sangat seronok untuk dipandu.”

Tomoyuki turut mendedahkan beliau turut memiliki tiga buah kereta dan dua daripadanya ialah kereta manual, iaitu Accord Type R dan Porsche 911 generasi 997.

Honda sebelum ini pernah menawarkan kotak gear manual pada model hibrid, seperti Civic dan Insight, serta model hibrid CR-Z yang telah lama ditamatkan produksinya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here