Alpine A110 R Ultime, kereta sports empat silinder tapi harga cecah RM1.5 juta

84

Ini mungkin sekali model penamat untuk penawaran kereta sports Alpine A110, iaitu Alpine A110 R Ultime setelah pengeluar itu tampil dengan beberapa buah model edisi terhad sebelum ini.

Ia turut membawakan tanda harga yang agak mahal untuk sebuah kereta sports berenjin empat silinder, iaitu sekitar GBP330,000 (RM1.544 juta).

Alpine A110 R Ultime masih lagi berkongsi nadi empat silinder sebaris 1.8 liter turbo yang sama pada model Renault Megane RS Ultime, namun dengan hamburan kuasa setinggi 345hp dan daya kilas 420Nm.



Dengan transmisi automatik klac berkembar 6 nisbah kelajuan yang telah diubahsuai dan sistem launch control, A110 R Ultime ini mampu memecut sepantas 3.8 saat dari pegun ke 100kmj.

Sistem gantungan jentera ini terdiri daripada unit peredam Öhlins boleh laras pada keempat-empat sudut. Aspek pemberhentian pula menggunakan rotor brek perlumbaan AP Racing 330 mm dengan pelapik brek dan liang penyejukan.

Untuk memastikan kereta ini melekat dengan baik atas jalan, ia dipasang dengan getah Michelin Pilot Sport Cup 2 dan kit badan yang mampu menghasilkan daya mendap 160kg pada kelajuan tinggi.

Hanya 110 unit sahaja yang akan dibina dengan pilihan warna luaran Alpine Vision Blue atau Abysse Blue, di mana harga untuk versi ini bermula dari GBP265,000 (RM1.24 juta).

Versi warna La Bleue seperti dalam gambar pula lebih istimewa dengan hanya 15 unit sahaja yang tersedia dan harga jualan RM1.544 juta seperti yang disebutkan di atas.

GALERI

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here