Polis mengesan pemandu sebuah kenderaan yang melanggar lari seorang penunggang motosikal di Lebuhraya Sungai Besi menghala The Mines Sri Kembangan pada 11 Oktober lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada jam 2.34 petang, seorang lelaki menunggang motosikal menghala ke susur masuk Lebuhraya Sungai Besi.
“Dalam masa yang sama, sebuah kenderaan yang nombor pendaftaran tidak pasti datang dari arah Terminal Bersepadu Selatan (TBS) melanggar penunggang motosikal sehingga menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terjatuh.
“Selepas kemalangan, pemandu kenderaan itu tidak memberhentikan kenderaannya dan melarikan diri.
“Penunggang motosikal berusia 40 tahun itu telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM untuk rawatan lanjut,” katanya.
Mohd Zamzuri berkata, pihaknya masih mengesan kenderaan yang terlibat dan menggesa pemandu kenderaan serta pemilik kamera papan pemuka yang merakam kemalangan tersebut tampil hadir ke Balai Trafik Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Zuhairi di talian 017-9732731 atau pejabat JSPT, Kuala Lumpur, Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 bagi membantu siasatan.
Pada Isnin, tular rakam video berdurasi satu minit satu saat di aplikasi WhatsApp yang memaparkan kemalangan tersebut.