Tunggang motor ‘zig-zag’ dan letak dagu atas meter, pemuda diarah jalani khidmat masyarakat 100 jam

1

Mahkamah Majistret Batu Pahat memerintahkan seorang lelaki yang menunggang motosikal secara berbahaya termasuk melakukan aksi ‘zig-zag’ menjalani hukuman khidmat masyarakat 100 jam selama setahun.

Majistret Suhaila Shafi’uddin mengeluarkan perintah terhadap Halim Yusof, 20, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan pilihan dikemukakan mahkamah, selari Seksyen 293 (1) (e) Kanun Prosedur Jenayah.



Mahkamah turut menetapkan tiga syarat iaitu tertuduh perlu melapor diri kepada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan bermula dua minggu dari tarikh perintah dikeluarkan.

Tertuduh juga diwajibkan mematuhi jadual aktiviti khidmat masyarakat ditetapkan JKM dan menetap di alamat dinyatakan.

Sekiranya berpindah, tertuduh perlu memaklumkan kepada pegawai JKM dan pelanggaran syarat akan membolehkan tertuduh dihadapkan semula ke mahkamah.

Halim yang kini bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi, didakwa menunggang motosikal tanpa kecermatan dan perhatian di KM19 hingga 20, Jalan Kluang-Ayer Hitam, pada jam 2 pagi, 12 Februari tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) (Pindaan 2020) yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 dan penjara 12 bulan.

Berdasarkan fakta kes, polis yang menjalankan rondaan terserempak tertuduh yang menunggang motosikal sambil meletakkan dagu atas meter.

Susulan itu, polis menahan tertuduh sebelum dibawa ke Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh diwakili Kamarularifin Nordin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Sebelum perintah dikeluarkan, mahkamah juga mendengar laporan sosial tertuduh yang dibentangkan Penolong Pegawai JKM Batu Pahat, Faezah Ajmain.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here