Kontrak sewa Black Hawk mungkin terbatal

4

Kegagalan pembekal Aerotree Defence and Services Sdn Bhd membuat penghantaran empat helikopter sewaan UH-60A Black Hawk kepada Tentera Darat Malaysia (TDM) hingga 30 Oktober mungkin menyebabkan kontrak terbatal.

Sehubungan itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mencari alternatif lain bagi menggantikan kontrak sewaan berkenaan.



“Saya telah minta pihak tentera darat untuk mencari alternatif lain kerana ia (helikopter) adalah ‘stop gap’ bagi tempoh lima tahun untuk kegunaan tentera darat,” katanya.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) sebelum ini dilaporkan akan menilai secara menyeluruh terhadap perjanjian pajakan empat helikopter Black Hawk sebelum membuat keputusan sama ada membatalkan kontrak atau memberikan masa tambahan kepada pembekal.

Pada Mei tahun lepas, MINDEF menandatangani kontrak sewaan empat helikopter berkenaan dengan syarikat tempatan Aerotree Defence and Services selama lima tahun bernilai RM187 juta.

Ketika ditanya mengenai peruntukan kepada MINDEF dalam Belanjawan 2025, Khaled berkata, terdapat peningkatan antara enam hingga tujuh peratus peruntukan untuk tahun depan berbanding tahun ini.

Peruntukan yang diterima itu membolehkan MINDEF meneruskan usaha pemodenan aset ATM.

“Kita akan teruskan projek-projek LCS (kapal tempur pesisir), LMS (kapal misi pesisir) dan sebagainya (termasuk) soal pembelian helikopter juga,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here