Sempena perayaan Deepavali, Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma kepada pengguna lebuhraya bermula 29 Oktober jam 12.01 pagi hingga 30 Oktober jam 11.59 malam.
Menteri Kerja Raya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata kos pemberian tol percuma yang dianggarkan sebanyak RM38 juta akan ditanggung oleh Kerajaan dengan bayaran pampasan dibuat kepada semua syarikat konsesi tol yang terlibat.
“Pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan teras utama Kerajaan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat disamping mengukuhkan budaya perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Semoga pengguna lebuhraya memanfaatkan peluang ini sebaiknya dan dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan sewajarnya untuk melancarkan pergerakan,” katanya.
Pengecualian tol akan diberikan hanya kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sahaja di semua plaza tol.
Plaza tol yang tidal terlibat adalah di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) Johor Darul Takzim.
“Saya mewakili Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia dan semua Syarikat Konsesi Lebuh Raya memohon supaya semua pengguna jalan raya memandu dengan berhemah mematuhi semua peraturan yang ditetapkan,” tambah beliau.