Sebanyak 130 motosikal yang berada dalam depoh simpanan kenderaan milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Connaught, Kuala Lumpur terbakar, semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 12.33 tengah hari.
“Seramai 10 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak dan BBP Cheras dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami dimaklumkan mengenai kebakaran melibatkan deretan motosikal lama yang berada dalam depoh penyimpanan kenderaan tersadai milik DBKL,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kebakaran berjaya dipadamkan dengan anggaran kemusnahan 100 peratus melibatkan 130 motosikal pelbagai model.
“Punca kebakaran itu masih dalam siasatan unit forensik,” katanya.