Malaysia guna EV jadi kenderaan rasmi bawa pemimpin ASEAN

59

Kenderaan elektrik (EV) akan menjadi kenderaan rasmi bagi membawa pemimpin ASEAN sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, langkah itu bagi menyokong usaha serta inisiatif peralihan tenaga negara.

“Jika dahulu (pemimpin ASEAN) menerima kenderaan mewah untuk membawa mereka. Apa yang berlaku sekarang, kita serius mengenai kemampanan dan peralihan tenaga.



“Menariknya (mesyuarat) Kabinet baru-baru ini memutuskan (penggunaan EV). Mari kita tunjukkan di Malaysia semua kenderaan yang disediakan kepada pemimpin kerajaan, menteri-menteri, pegawai-pegawai hanya menggunakan EV,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Ilmuwan Malaysia MADANI bertajuk Sektor Tenaga Pemangkin Pertumbuhan Sosioekonomi Yang Mampan dan Inklusif di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Anwar berkata, keputusan menggunakan EV juga adalah lebih murah berbanding kenderaan lain.

“Kita akan maklum kepada kepala (pemimpin) negara, kami memang nak sedia kereta lebih besar tapi kereta EV paling besar cuma ini sahaja, sila gunakan dan berpuas hati dengannya,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengulangi matlamat Malaysia untuk memanfaatkan sepenuhnya jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan.

Katanya, jawatan Kepengerusian ASEAN membawa manfaat kepada negara dan secara tidak langsung memperkukuhkan perpaduan dalam negara anggota.

“Agenda ASEAN 2025 adalah bercita-cita tinggi. Adalah penting bagi Malaysia dan ASEAN secara keseluruhannya untuk meraih manfaat maksimum daripada usaha ini,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here