Kia Tasman (2025) debut secara rasmi, rupa terlebih berani

88

Kia Tasman (2025) merupakan pendatang baharu daripada pengeluar automotif Korea Selatan yang bakal memberikan cabaran kepada segmen trak pikap saiz pertengahan seperti Ford Ranger, Mitsubishi Triton dan Toyota Hilux.

Ia boleh didapati dalam bentuk badan kabin tunggal serta kabin berkembar, tidak ketinggalan kabin casis (chassis cab) yang boleh diubahsuai mengikut keperluan.

Sukar untuk anda mengatakan trak pikap Tasman ini sebuah kenderaan yang cantik.



Ini kerana Tasman membawakan muka hadapan yang aneh dan terlebih berani, di mana unit lampu utama diposisikan betul-betul pada hujung badan, diikuti dengan struktur jeriji dan logo gergasi Kia di bahagian tengah.

Pendekatan sama digunakan pada bahagian belakang, dengan unit lampu kompak dan grafik berbentuk C, serta logo Kia yang dicetak pada pintu tailgate.

Tidak seperti Ford Maverick yang menggunakan binaan badan unibodi, Kia Tasman mengikut jejak langkah pesaing menggunakan casis ladder-frame, dengan tetapan suspensi double-wishbone di depan dan sistem dedaun pada gandar belakang.

Terdapat pilihan enjin petrol 2.5 liter berkuasa 277 hp dan 422 Nm, atau enjin diesel turbo 2.2 liter berkuasa 207 hp dan 440 Nm, dengan keupayaan menunda beban seberat 3,500 kg dan had muatan seberat 1,195 kg.

Bahagian bed kargo pula menawarkan ruang sebesar 1,172 liter.

Menurut Kia, Tasman boleh digunakan untuk meredah air sedalam 800 mm, dengan beberapa mod pemanduan tersedia termasuklah Desert, Mud, Snow dan Rock.

Ruang kabin pula dikatakan paling luas di dalam kelasnya, dengan tempat duduk belakang yang boleh disandarkan pada sudut sehingga 30 darjah.

Terdapat juga ruang storan tersembunyi di bawah tempat duduk baris kedua, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, sistem audio Harman Kardon, serta meja konsol boleh lipat.

Untuk pemandu pula disediakan roda stereng dengan butang pelbagai fungsi, panel skrin tunggal yang menempatkan paparan kluster digital dan sistem infotainmen, butang fungsi fizikal di bahagian tengah, serta tuil penukaran gear di bahagian kolum stereng.

Kia Tasman (2025) bakal mendarat di pasaran Afrika, Australia, Timur Tengah dan tidak ketinggalan dijual di pasaran Korea Selatan.

Selain versi petrol dan diesel, Kia Tasman juga dijangka akan ditawarkan dalam versi elektrik penuh (BEV) menjelang tahun 2027.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here