Protes bateri tidak boleh dicas, pemilik Tesla Model 3 terpakai tunda kereta guna lembu

45

Seorang pemilik Tesla di China terkejut selepas mendapati Tesla Model 3 terpakai yang dibelinya pada harga CNY101,000 (RM62,023) tidak boleh dicas.

Susulan itu, pemilik kereta elektrik (EV) berkenaan melakukan bantahan dengan menunda keretanya menggunakan lembu di jalan raya.



Pemuda yang hanya dikenali dari Weifang, wilayah Shandong itu dikatakan membeli Tesla Model 3 Performance berwarna putih itu menerusi platform kereta terpakai terkenal, Guazi.

Menurut laman web rasmi Tesla di China, harga semasa model yang sama bermula pada CNY335,900 (RM206,272).

Bagaimanapun, selepas memandu EV berkenaan dia melihat paparan amaran menunjukkan ia tidak boleh dicas dipercayai akibat kerosakan bateri.

Namun, tidak diketahui sama ada pemilik memandu uji EV itu sebelum membuat pembelian. 

Selepas gagal mencapai penyelesaian dengan Guazi dan Tesla, pemilik kereta yang kecewa itu melakukan perarakan di jalanan sebagai tanda protes bagi mendapatkan keadilan.

TARIK PERHATIAN PENGGUNA JALAN RAYA

 

Video yang tular menunjukkan lembu itu perlahan-lahan menarik Tesla dengan contengan ayat “Ditipu oleh Guazi” dan “penipuan”.

Tindakan itu dengan pantas menarik perhatian orang awam yang berada di lokasi kejadian. Lelaki itu kemudiannya meletakkan kereta di depan bilik pameran kereta terpakai Guazi.

Seorang kakitangan perkhidmatan pelanggan Guazi memberitahu ifeng.com bahawa semua kenderaan menjalani pemeriksaan sebelum disenaraikan di platform.

Beliau menjelaskan pelanggan tersebut membeli Model 3 tersebut melalui Chesupai iaitu perkhidmatan C2B Guazi untuk pengedar profesional.

“Perkhidmatan ini melayani pengedar kereta terpakai yang membeli kenderaan pada harga lebih rendah untuk dijual semula bagi keuntungan.

“Tesla adalah sebahagian daripada wakil pengedar memfokuskan promosi, oleh itu pembeli bertanggungjawab untuk menilai keadaan kenderaan dan menanggung risiko yang berkaitan,” katanya.

Pada 23 Oktober, Guazi turut mengeluarkan kenyataan rasmi mengatakan bahawa penjual itu merupakan pengedar kereta profesional yang menyelesaikan lebih daripada 30 transaksi di platform.

Menurut laporan pemeriksaan profesional, perbatuan kereta itu direkodkan pada lebih 280,000km dan mempunyai sejarah kerosakan yang signifikan.

Kenderaan itu dinilai sebagai gred D yang menunjukkan ia harus dibeli dengan berhati-hati.

Seorang lagi pekerja Guazi memberitahu K618.cn bahawa walaupun hayat bateri Tesla telah merosot dengan ketara, prestasi bateri tidak termasuk dalam semakan prajualan platform.

Namun begitu, syarikat telah memproses pemulangan dan mengeluarkan bayaran balik kepada pelanggan tersebut. 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here