Yamaha MT-07 pertama kali diperkenalkan pada 2014 dan model tersebut telahpun memasuki generasi keempat dengan naiktaraf casis baharu, penampilan, elektronik, berat lebih ringan dan banyak lagi.
Naked bike itu masih mengekalkan enjin CP2 689cc kembar sebaris yang menghasilkan kuasa 72.4bhp @ 8,750rpm dan tork 67Nm @ 7,750rpm dengan kotak gear manual 6 kelajuan atau Y-AMT.
Model 2025 didatangkan dengan transmisi automatik Y-AMT yang sama dengan MT-09. Naked bike itu mendapat dua mod automatik yang mengendalikan proses tukaran gear.
Mod D direka untuk menawarkan tukaran gear tinggi lebih pantas dan D+ lebih sesuai untuk tunggangan lebih bersemangat.
Unit Y-AMT tiada klac dan tuil gear yang mana tukaran gear dilakukan melalui sensor dan penggerak. Selain itu, MT-07 turut didatangkan dengan mod manual yang mana menggunakan punat tukaran gear ‘naik’ dan ‘turun’ pada suis kiri.
Ciri peralatan elektronik pula, ia didatangkan dengan terotel ‘ride by wire’, kawalan traksi boleh tukar, beberapa tahap kuasa, pelbagai mod tunggangan dan kawalan kruise.
Selain itu, MT-07 juga dilengkapi dengan klac slipper manakala versi manual turut mendapat manfaat daripada fungsi bantuan.
RINGAN 1KG
Kemas kini signifikan yang lain termasuklah kotak udara dan corong intake baharu. Casis kini disokong dengan suspensi terbalik 41mm (depan) dan monoshock (belakang) bersama sistem brek yang dinaiktaraf dengan kaliper radial empat piston.
Secara keseluruhan berat jentera kini 183kg yang mana 1kg lebih ringan berbanding MT-07 sebelumnya dan 19kg lebih ringan berbanding Suzuki.
Walaupun 4.5kg tambahan berat teknikal dilakukan ketika pembangunan, penjimatan tersebut disumbangkan oleh rim 17-inci yang mengurangkan berat hampir 500g bersama tayar Dunlop Sportmax Q5A yang lebih sporty.
Yamaha juga menyatakan MT-07 (2025) menawarkan tunggangan baharu lebih dinamik dan sporty menerusi ketinggian pelana 805mm.
Naik taraf lain termasuklah bar hendal lebih lebar 18mm, lebih rendah 22mm dan 9.3mm lebih ke belakang dengan rider.
Pemijak kaki diturunkan 10mm untuk tambahan ruang buat penunggang lebih tinggi bersama kemas kini reka bentuk pelana bagi keupayaan lutut ‘memeluk’ tangki minyak.