Kerajaan perhebat pembangunan stesen pengecas EV menjelang sidang ASEAN 2025

8

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pembangunan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) akan diperhebat bagi menyokong hasrat kerajaan menjadikan EV sebagai kenderaan rasmi semasa kepengerusian ASEAN 2025.

Beliau berkata ketika ini terdapat lebih 2,000 stesen pengecas EV di seluruh negara, dan angka itu akan digandakan menjadi 4,000 stesen menjelang tahun hadapan sebagai persiapan menyokong penggunaan kenderaan elektrik.

Beliau menekankan bahawa antara pendekatan dalam memastikan kelestarian dan kemampanan adalah melalui sektor tenaga, termasuk penggunaan kenderaan elektrik (EV). Oleh itu, Kabinet telah memutuskan bahawa Malaysia, sebagai tuan rumah ASEAN pada tahun hadapan, akan menggunakan EV sebagai kenderaan rasmi bagi membawa ketua-ketua negara dan pegawai yang menghadiri persidangan ASEAN.



“Perancangan kini adalah untuk menggerakkan lebih banyak EV, satu daripadanya adalah dengan pembangunan stesen pengecas. Sasaran kita adalah untuk mempunyai 10,000 stesen pengecas di seluruh negara menjelang 2030, serta memberikan insentif kepada pemilik EV.

“Inisiatif ini adalah langkah positif untuk alam sekitar kerana ia dapat mengurangkan pelepasan karbon dari sektor pengangkutan. Penggunaan EV adalah satu pendekatan utama yang difokuskan oleh kerajaan,” katanya kepada media selepas majlis perasmian Kongres Perancangan Kebangsaan 2024, yang diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2024, di sini hari ini.

Fadillah berkata stesen pengecas sedia ada yang kebanyakan tertumpu di pusat bandar mencukupi bagi menyokong penggunaan EV sebagai kenderaan rasmi.

Ini, katanya memandangkan program ASEAN akan diadakan di bandar namun pada masa yang sama pembangunan stesen pengecas turut dipercepat di kawasan luar bandar.

Beliau berkata satu daripada langkah menyegerakan pemasangan stesen pengecas bukan sahaja dibangunkan Tenaga Nasional Bhd tetapi juga terbuka kepada sektor swasta.

Fadillah Yusof menjelaskan bahawa peralihan dalam sektor pengangkutan dan pengilangan berpotensi untuk mempercepatkan sasaran penggunaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 40 peratus dalam campuran bahan api negara menjelang 2030, meningkat daripada 20 peratus ketika ini.

Beliau berkata dalam usaha merancakkan penggunaan EV, perlu ada keseimbangan antara keterjaminan bekalan elektrik, keselamatan dan kemampuan dari segi kos.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata EV akan digunakan sebagai kenderaan rasmi sempena kepengerusian ASEAN 2025.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here