Tiada lagi bayaran tunai di KTMB mulai 1 Januari 2025

77

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan beralih kepada mod pembayaran tanpa tunai sepenuhnya melibatkan semua transaksi di sektor Lembah Klang, Utara, Selatan dan Pantai Timur bermula 1 Januari tahun depan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata stesen-stesen KTMB terutamanya di Lembah Klang dan Utara telah dilengkapi dengan mesin kios bagi pembelian tiket komuter dan kereta api elektrik (ETS).



“Stesen-stesen utama di Pantai Timur juga mempunyai mesin kios untuk membuat pembelian tiket Ekspres Rakyat Timuran dan Shuttle Timuran,” katanya. 

Bagi stesen di sektor Selatan selain dari Stesen Johor Bahru Sentral dan Kempas Baru, mesin kios hanya akan beroperasi setelah Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas – Johor Bahru siap sepenuhnya.

“Tetapi, para pengguna masih boleh membuat pembelian tiket melalui medium sedia ada seperti KITS atau laman sesawang KTMB,” ujarnya.

    

Mohd Rani Hisham menjelaskan sistem pembayaran terbuka untuk perkhidmatan KTM Komuter telah diperkenalkan dan ia menyediakan pelbagai mod pembayaran yang praktikal untuk semua stesen di Lembah Klang dan Utara.

Melalui kaedah tersebut, pengalaman pengguna dapat dipertingkatkan kerana dapat membuat perjalanan dengan menggunakan kad debit dan kredit serta mod bercirikan komunikasi medan berhampiran (NFC).

Justeru itu, KTMB  kini dalam fasa peralihan bagi memberi pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai khususnya warga emas serta orang kurang upaya (OKU).

“Dalam tempoh peralihan sehingga akhir tahun ini, kaunter-kaunter tiket masih menerima transaksi tunai. Pelbagai medium dan hebahan juga dilaksana bagi menguar-uarkan kempen,” jelasnya.

Statistik menunjukkan 82 peratus penumpang menggunakan mod bayaran atas talian bagi perkhidmatan ETS dan Shuttle Tebrau melalui KITS, manakala 71 peratus menggunakan sistem pembayaran tanpa tunai bagi perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang dan Utara.

 

 

 

 

 

 

 
 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here