Sebanyak 11 motosikal musnah dalam kebakaran sebuah garaj di Lengkok Kampung Jawa 2, Bayan Lepas, George Town, pada Jumaat.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Nor Mazuan Hafiz Mat Rais berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.51 pagi.
Menurutnya, pasukan bomba bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati api marak di garaj tersebut.
“Kebakaran melibatkan garaj menyimpan motosikal yang berkeluasan 10×10 kaki persegi dengan anggaran kemusnahan 90 peratus.
“Kebakaran turut melibatkan sebuah lori dengan anggaran peratusan kemusnahan 10 peratus,” katanya.
Tambahnya, tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut.
“Kita membuat ‘size up’ dan mengarahkan anggota dengan pakaian peralatan pelindung diri (PPE) lengkap menjalankan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman.
“Kebakaran dapat dikawal dan telah dapat dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.30 pagi,” jelasnya.
Menurut beliau, kerja-kerja ‘overhaul’ dilakukan bagi memastikan tiada bahaya yang lain di lokasi kejadian dan operasi melibatkan sembilan anggota termasuk penyelia.