Pemandu beri alasan cuaca panas guna cermin gelap

828

Mahu mengelak cuaca panas selain berpura-pura tidak mengetahui peraturan ditetapkan antara alasan diberikan pemandu kenderaan yang ditahan dalam Ops Cermin Gelap, pada Jumaat.

Segelintir pemandu turut mendakwa kenderaan yang dimiliki telah dipasang cermin gelap sejak awal ia dibeli.

Gambar hiasan

Bagaimanapun, pelbagai alasan itu tidak berjaya apabila notis saman dikeluarkan terhadap kesalahan berkenaan.



Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, operasi bermula jam 9 hingga 11 pagi itu dijalankan di Jalan Lapangan Terbang Subang.

“Sebanyak 118 kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa dan daripada jumlah itu, 29 telah diambil tindakan melibatkan 61 notis saman atas pelbagai kesalahan.

“Penggunaan cermin gelap merupakan kesalahan utama dikesan selain tidak mempunyai lesen memandu, lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, beberapa tindakan lain turut diambil melibatkan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan dan Notis Arah Periksa.

“Kesedaran berkaitan penggunaan cermin gelap ini dilihat masih rendah di kalangan pengguna jalan raya.

“Kesalahan berkenaan boleh menyebabkan pemandu atau pemilik berdaftar kenderaan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan bagi kesalahan pertama,” katanya.

Menurutnya, operasi itu diadakan bagi memastikan pemandu dan pemilik kenderaan mematuhi peraturan terutamanya melibatkan penggunaan cermin gelap yang ditetapkan.

“Kadar penggunaan cermin gelap yang dibenarkan adalah 70 peratus ketelusan cahaya untuk cermin hadapan dan 50 peratus ketelusan cahaya untuk cermin sisi hadapan kiri dan kanan kenderaan.

“Pengguna jalan raya diingatkan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya ditetapkan seperti termaktub di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here