Projek lebar Lebuhraya Karak mula Januari 2025 – laporan

37

Projek pelebaran lorong tambahan Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak (KLK) akan dimulakan pada Januari 2025 dan dijangka siap menjelang tahun 2029.

Memaklumkan perkara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek berkenaan akan dilaksanakan oleh pihak AFA Prime Berhad (dahulu dikenali sebagai ANIH Berhad) selaku pemegang konsesi Lebuh Raya KLK.

Menurutnya, projek pelebaran Lebuh Raya KLK ini akan melibatkan jarak sepanjang 45.3 kilometer (km) dengan kos keseluruhan berjumlah RM2.1 bilion yang dibiayai sepenuhnya oleh syarikat konsesi lebuh raya.



“Ketika ini, pihak syarikat Konsesi sedang di dalam proses untuk memuktamadkan reka bentuk sebelum memulakan kerja-kerja pembinaan fizikal di tapak yang dijangkakan bermula pada Januari 2025.

“Kelewatan ini adalah disebabkan oleh pertukaran pemegang saham yang baru sahaja dimuktamadkan. Berdasarkan perjanjian konsesi, tempoh pembinaan pelebaran Lebuh Raya KLK adalah selama empat tahun dan dijangka siap pada tahun 2029,”kataya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan) berkenaan rancangan kerajaan bagi mengatasi masalah kesesakan trafik di Lebuh Raya KLK dan adakah laluan alternatif akan dibina bagi jaringan menghala ke Pantai Timur dari Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, antara skop kerja pelebaran Lebuh Raya KLK yang bermula dari Plaza Tol Gombak ke Bentong adalah penambahan satu lorong daripada tiga lorong sehala sedia ada kepada empat lorong sehala bagi Seksyen 1 (dari Plaza Tol Gombak ke Genting Sempah).

Selain itu katanya, penambahan daripada dua lorong sehala sedia ada kepada tiga lorong sehala bagi Seksyen 2 (dari Genting Sempah ke Bentong).

“Skop kerja ini juga akan melibatkan pembinaan sebuah terowong dua lorong baharu bersebelahan dengan terowong sedia ada arah Timur,” jelasnya.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here