EICMA 2024 : Aprilia dedah Tuono 457, di pasaran tahun depan

29

Aprilia Tuono 457 rasmi diperkenalkan di Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2024. Naked bike itu merupakan versi jalanan Aprilia RS 457 yang menyasarkan penunggang baharu.

Pesaing kepada CFMoto 450NK, Honda CB300R dan KTM 390 Duke itu bakal berada di pasaran eropah bermula April 2025 dengan pilihan warna Piranha Red dan Puma Gray.



Ia menggunakan enjin 457cc DOHC silinder berkembar yang menghasilkan kuasa 48hp @ 9,400rpm dan tork 43.5Nm @ 6,700rpm bersama kotak gear 6-kelajuan. 

Satu-satunya perubahan yang disenaraikan oleh Aprilia ialah gear pacuan akhir yang lebih pendek untuk Tuono berbanding RS sekaligus menghasilkan pecutan lebih baik.

Pakej elektronik yang didatangkan pada Tuono 457 termasuklah kawalan traksi tiga peringkat dan dua tahap Sistem Brek Anti Kunci (ABS).

Penambahan kepada perincian moden itu adalah terotel ride by wire dengan tiga mod tunggangan iaitu Sport, Eco dan Rain.

Tetapan dilaraskan melalui paparan TFT lima inci yang boleh disambungkan dengan telefon pintar menerusi Aprilia MIA. Ia mempunyai ciri yang sering dilihat pada motosikal lebih mahal, termasuk navigasi, gabungan multimedia dan pengurusan panggilan telefon.

Jentera itu dipadankan dengan suspensi terbalik dengan pra beban boleh laras di depan dan monoshock dengan pra beban boleh laras di belakang.

Kemudian, ia disokong dengan rim 17-inci bersama balutan tayar Eurogrip Protorq Extreme. Keupayaan membrek diserahkan kepada cakera 320mm dengan kaliper radial ByBre (depan) dan cakera 220mm (belakang).

Posisi tunggangan yang menegak disokong dengan ketinggian pelana 31.5 inci dan bar hendal yang sedikit tinggi dan ke belakang. 

Reka bentuk Tuono dikemas kini bagi model 2025. Menurut Aprilia, penggayaan 457 lebih minimalis yang tentunya berkongsi dengan adik-beradik Tuono 660 dan V4.

Reka bentuk Tuono klasik dilihat dalam pencahayaan LED menyeluruh yang menggunakan reka bentuk lampu depan tiga yang biasa.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here