Pesalah trafik serbu kaunter bayar saman

47

Susulan tawaran diskaun sehingga 50 peratus, Kaunter Program Tawaran Semakan dan Bayaran Saman Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasa Trafik (JSPT) Kuala Lumpur diserbu orang ramai hari ini. 

Difahamkan, sebanyak 19 kaunter termasuk tiga untuk kemudahan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan wanita mengandung membayar saman yang dibuka pada jam 8.30 pagi.

Gambar hiasan

Tinjauan akhbar Sinar Harian mendapati orang ramai mula hadir ke Balai Polis Trafik Tun H S Lee seawal jam 7 pagi.



Seorang warga emas, Mohd Yusof Darus, 71, berkata, dia datang dari Bandar Tun Razak semata-mata untuk menyelesaikan saman.

“Program sebegini bagus, orang ramai yang hadir ke balai polis trafik ini tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan diskaun saman,” katanya.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sebanyak 17,002 saman bernilai RM1.87 juta berjaya diselesaikan dalam tempoh dua hari.

“Anggaran pengunjung awam ke kaunter saman sejak Selasa lalu adalah seramai 3,100 orang,” katanya.

Program sedemikian dilaksanakan bagi membantu mengurangkan beban kewangan sambil mendidik masyarakat untuk patuh pada peraturan jalan raya.

Yusri berkata, jumlah saman tertunggak direkodkan di seluruh negara sejak 1990 hingga 6 November berjumlah 43.5 juta bernilai RM 6.5 billion.

“Jumlah saman di Kuala Lumpur pula sejak Januari hingga 5 November lalu sebanyak 881,211, jumlah itu agak tinggi.

“Kesalahan halangan lalu lintas dan abai isyarat lalu lintas antara saman paling banyak dikeluarkan di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan membayar saman tepat pada waktunya demi kelancaran urusan dan terhindar daripada hukuman yang lebih berat.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here