Utama Berita Automotif Warga Perancis pandu mabuk, maki polis didenda RM10,080

Warga Perancis pandu mabuk, maki polis didenda RM10,080

70

Seorang pelayan restoran warga Perancis didenda RM10,080 selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mengganggu keamanan dengan menghina seorang polis serta memandu dalam keadaan mabuk di Mahkamah Majistret Balik Pulau, pada Khamis.

Anthony Gilbert Georges Cazals, 29 membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Chia Huey Ting selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan niat sengaja mengganggu keamanan dengan cara menyebut perkataan yang kurang sopan dan menghina iaitu ‘fuck off’ terhadap Koperal Ikhwanshah Sahar.
 
Oleh demikian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
 
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Lushani manakala tertuduh diwakili peguam S Vikneshwaran.
 
Huey Ting kemudiannya menetapkan denda RM80 terhadap tertuduh dan sekiranya gagal, dia boleh dipenjarakan selama tiga hari.
 
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, Anthony mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol.
 
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang memandu Honda CRZ Hybrid CVT dengan kandungan alkohol di dalam nafas sebanyak 257mg dalam 100ml darah iaitu melebihi 207mg /100ml daripada had yang ditetapkan 50mg/100ml.
 
Oleh demikian, dia didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 45A(L) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum di bawah akta yang sama.
 
Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di tepi jalan Jalan Persiaran Bayan Indah pada jam 2.30 pagi, 3 November lalu.
 
Lushani dalam pendakwaannya memohon satu hukuman yang setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh.
 
“Saya mohon satu hukuman yang setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam. Hukuman juga bagi pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi perbuatannya.
 
“Oleh itu, saya mohon hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan denda antara RM10,000 hingga RM30,000 terhadap tertuduh,” katanya.
 
Vikneshwaran kemudiannya memohon mahkamah menetapkan hukuman minimum berikutan anak guamnya telah menyesal selain berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya itu.
 
“Saya mohon mahkamah menetapkan hukuman yang minimum memandangkan anak guam saya sudah menyesal malah dia terkesan dengan perbuatannya selepas berada di dalam lokap selama beberapa hari sejak dia ditahan.
 
“Dia juga hanya berpendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 dan perlu menanggung kedua-dua ibu bapanya. Dia juga dalam perancangan untuk pulang ke negara asalnya,” katanya.
 
Huey Ting kemudiannya mengenakan denda RM10,000 dan enam hari penjara daripada tarikh ditangkap terhadap tertuduh.
 
Mahkamah turut memerintahkan lesen memandu antarbangsa milik Anthony digantung selama dua tahun.
 
Difahamkan, waris Anthony iaitu bapanya membayar denda tersebut pada Khamis.
 


APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here