Usia bukan penghalang, warga emas ini kembara dunia pandu Mercedes W114

557

Mohd Daud Kassim, 65 memilih Mercedes-Benz W114 berusia 56 tahun untuk menemaninya merealisasikan impian sejak kecil untuk menjelajah dunia.

Pengarah Urusan Swichtec Power Systems Sdn Bhd itu berkata, dia memulakan perjalanan pada 15 September bersama sebuah lagi Mercedes yang dipandu Prumjeet Singh bersama seorang mekanik, Zainal Mohd Said.



Ekspedisi bermula dari Shah Alam ke Betong, Thailand dan kemudian ke negara lain antaranya Laos, China, Kazakhstan, Azerbaijan serta Georgia.

“Saya ambil masa empat tahun untuk membuat persiapan penuh melibatkan keperluan kenderaan dan perancangan perjalanan.

“Kereta lama menjadi pilihan, sebab lebih mudah dibaiki dan daripada segi kelengkapan elektronik. Contohnya, macam dekat China sebelum ini cuaca terlalu sejuk dan kereta tak boleh hidup. 

“Saya dan pemandu hanya perlu tolak sahaja untuk hidupkan enjin, berbeza kalau kita bawa kereta terkini lebih-lebih lagi jika automatik yang memerlukan banyak alat membaiki,” katanya.

BAKI PERJALANAN 3,000KM

Mohd Daud menjelaskan tiada had masa untuk menamatkan pengembaraan tersebut. Maka, ekspedisi itu lebih santai yang mana kadang kala dia dan rakan menghabiskan masa dua hingga tiga hari di satu lokasi. 

“Sepanjang perjalanan hampir dua bulan ini, memang ada pelbagai cabaran antaranya masalah berkaitan visa, kereta rosak, komunikasi, kesihatan mental dan fizikal terutamanya pemandu.

“Kalau jadi pemandu, tubuh badan kena sihat sebab akan menggunakan banyak tenaga terutamanya ketika pemeriksaan di sempadan.

“Dia seorang sahaja dibenarkan berada di kawasan pemeriksaan waktu itu dan perlu keluarkan semua beg serta barangan dan alatan. Kereta perlu dikosongkan sebelum melalui stesen imbasan x-ray.

“Jika ada kawan, boleh bantu angkat semua itu tapi sebaliknya. Sebab itu kesihatan fizikal juga penting untuk melakukan jelajah secara pandu sendiri ini,” jelasnya.

Perjalanannya kini mencapai 18,000km dan masih berbaki 3,000km bagi menamatkan kembara. 

“Alhamdulillah, setakat sekarang (di Turkiye) semua masih dalam keadaan terkawal. Saya harap situasi ini kekal sehingga saya berjaya menjelajah ke semua negara yang terpilih.

“Bagi mereka di luar sana yang mempunyai impian untuk menggembara, kita kena set minda dan terus melakukannya jika benar-benar minat. Selagi masih ada waktu, peluang dan keadaan kesihatan mengizinkan… teruskan,” katanya.

 

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here