Berita baik buat para peminat kereta sports Fairlady Z, ini kerana Nissan Jepun menawarkan kemas kini warna baharu Midnight Purple untuk model tahun 2025.
Selain warna yang pernah dipopularkan oleh Nissan GT-R, Nissan Fairlady Z juga boleh didapati dalam 10 lagi warna termasuklah Wangan Blue, Vibrant Red, Brilliant White Pearl dan 432 Orange.
Secara asasnya, tidak banyak perubahan yang dibawakan pada Nissan Fairlady Z (2025) untuk bahagian luaran.
Cuma untuk ruang kabin, Nissan telah menaik taraf fungsi panggilan SOS di mana pemandu boleh menekan butang khas untuk bercakap dengan operator dalam situasi kecemasan.
Fungsi ini juga akan diaktifkan secara automatik apabila beg udara terletus, di mana sistem akan menghantar data lokasi kenderaan kepada penyedia perkhidmatan penyelamat.
Tiada sebarang naik taraf kuasa, bermakna Nissan Fairlady Z masih lagi kekal dengan enjin bentangan V6 3.0 liter turbo berkembar berkuasa 400 hp, atau sehingga 414 hp untuk varian Nismo.
Di Jepun, harga jualan Nissan Fairlady Z (2025) bermula dari ¥5,497,800 (RM157,824) sementara versi Nismo pula berharga ¥9,302,700 (RM267,051).
Difahamkan, produksi Nissan Fairlady Z ini akan dihadkan kepad 4,100 unit sahaja, termasuk 3,100 versi standard, 500 unit versi Nismo dan 500 unit lagi dikhaskan untuk unit demo dan pandu uji.
Disebabkan penawaran unit yang terhad, pembeli bertuah hanya akan dipilih menerusi sistem cabutan undi.