Hyundai mahu kembalikan butang fungsi fizikal dalam ruang kabin

88

Hyundai akhirnya mengakui kesilapan mereka mengutamakan penggunaan skrin sentuh dan butang fungsi berasaskan sentuhan.

Disebabkan oleh rungutan banyak pihak, pengeluar itu berazam untuk mengembalikan semula butang fungsi fizikal pada model kenderaan akan datang.

Dengan wujudnya teknologi skrin sentuh, ia membolehkan pasukan R&D menghasilkan reka bentuk kabin yang lebih ringkas dan minimalis, dan menambah lebih banyak fungsi ke dalam kenderaan.



Ia sudah pasti satu tugas yang mudah untuk mengubah tetapan kenderaan ketika kereta sedang diparkir statik, namun ia akan menjadi satu tugas yang sukar untuk mengubah sesuatu tetapan terutama ketika kenderaan sedang bergerak.

Lebih menyakitkan hati apabila fungsi yang sebelum ini sangat mudah untuk diubah tetapannya menjadi satu tugas yang rumit disebabkan menu tersebut tertanam di dalam skrin infohibur, seperti contoh mengubah suhu kabin atau sekadar membuka tingkap suria.

Menurut Naib Presiden Unit Rekaan Hyundai Amerika Utara, Ha Hak-soo memberitahu laman Korea JoonAng Daily, “ketika kami menambah skrin infohibur pada kenderaan, kami juga cuba meletakkan kawalan berasaskan skrin sentuhan, dan orang ramai tidak menyukainya.

“Apabila kami mengujinya dalam kumpulan fokus kami, kami sedar orang ramai tertekan dan jengkel apabila mereka mahu mengawal sesuatu dalam keadaan darurat, tetapi tidak dapat berbuat demikian,” ujarnya lagi.

Menyedari kesilapan tersebut, Hyundai kembali menawarkan gugusan butang fizikal dalam kenderaan mereka, seperti contoh Ioniq 5 facelift yang diperkenalkan beberapa bulan lepas.

Namun begitu, pasukan rekaan Hyundai Amerika Utara mencadangkan terdapat kemungkinan perubahan sikap pelanggan terhadap skrin sentuh sekiranya kenderaan masa depan dilengkapi dengan teknologi bantuan pemandu lebih canggih yang boleh menyediakan pemanduan bebas tangan.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here