Utama Berita Automotif Kontena jatuh daripada treler, pemandu Perodua Bezza maut

Kontena jatuh daripada treler, pemandu Perodua Bezza maut

411
Wanita maut manakala seorang lelaki cedera parah selepas kereta dipandu mereka dihempap kontena yang terjatuh daripada treler dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Jalan Bukit Tengah, Bukit Mertajam, pagi tadi. 
 
Mangsa yang maut, Lee Zi Rou, 21, memandu Perodua Bezza manakala Tan Chou Theng, 25, yang cedera parah merupakan pemandu Honda Jazz.
 
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Nor Azamuddin Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.31 pagi sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda bergegas ke lokasi kemalangan.
 
“Kemalangan itu melibatkan tiga kereta iaitu Perodua Bezza, Honda Jazz dan Toyota Atlis serta dua lori termasuk treler.
 
“Terdapat dua mangsa tersepit akibat dihempap kontena yang terjatuh daripada treler berkenaan, namun mangsa lelaki berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba dan dibawa ke hospital oleh ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya. 
 
Nor Azamuddin berkata bomba terpaksa menggunakan peralatan khas dan mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa wanita yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
 
“Kerja-kerja mengalihkan kontena yang terjatuh dibantu dua kren dan kemalangan telah menyebabkan kesesakan teruk di lokasi kejadian,” katanya.
 
Terdahulu tular di media sosial beberapa rakaman video kejadian itu yang memaparkan sebuah treler membawa kontena dari arah Bukit Tengah menghala ke Bukit Minyak sedang belok ke kiri di persimpangan lampu isyarat sebelum kontena tersebut terjatuh dan menghempap beberapa kenderaan di laluan bertentangan.
 


APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here