Pengendali litar Willowbank Raceway di Queensland, Australia mengharamkan mana-mana pemilik EV daripada memasuki litar drag di dalam fasiliti tersebut.
Dalam satu kenyataan, pemilik litar tersebut menjelaskan, “setelah pertimbangan dan siasatan terperinci, Willowbank Raceway memutuskan untuk tidak lagi membenarkan mana-mana kenderaan elektrik yang didaftarkan di jalan raya untuk berlumba di sini.
“Kami telah menyemak undang-undang permotoran Australia, NEDRA, serta prosedur tindak balas kecemasan untuk kenderaan tertentu, dan mendapati risiko yang berkait rapat dengan pengujian atau perlumbaan melibatkan EV adalah terlalu tinggi.”
Antara kebimbangan keselamatan yang diutarakan termasuklah pelepasan gas toksik akibat kebakaran bateri, risiko kejutan elektrik ketika usaha untuk menyelamatkan mangsa kemalangan, serta pengendalian yang khusus diperlukan untuk memadamkan kebakaran EV.
Sestengah pemilik EV merasakan pengharaman tersebut bersifat berat sebelah, dan ada di antara mereka melontarkan jenaka pemilik kereta ICE sudah bosan dikalahkan dalam perlumbaan drag.
Sementara pihak yang lain berpuas hati dengan langkah pemilik litar tersebut, kerana mereka lebih gemar menonton perlumbaan antara jentera V8 seperti Holden Commodores dan Ford Falcon, berbanding perlumbaan antara ‘perkakasan elektrik’ beroda.