Dakwaan ‘beruang’ rosakkan Rolls-Royce, sindiket tipu syarikat insurans tumpas

120

Empat orang yang memakai kostum beruang dan merosakkan kereta mewah mereka sendiri dalam komplot untuk menipu syarikat insurans telah ditangkap di negeri California semalam.

Kecurigaan timbul selepas syarikat insurans menerima tuntutan untuk kerusi koyak dan pintu yang rosak pada kereta mewah, Rolls-Royce Ghost berharga ratusan ribu dolar.

Pihak yang membuat menuntut berkata, seekor beruang masuk ke dalam kereta itu dan melakukan kerosakan apabila ia diletakkan di tepi Tasik Arrowhead iaitu sebuah kawasan pergunungan di luar Los Angeles.



Sebagai bukti, gambar kerosakan serta rakaman kamera papan pemuka menunjukkan beruang itu berada di dalam kenderaan turut disertakan.

Namun, syarikat insurans curiga dan menghubungi detektif penipuan insurans.

“Setelah menganalisis rakaman video, penyiasat mendapati beruang itu sebenarnya manusia yang memakai kostum beruang,” kata kenyataan Jabatan Insurans California.

Penyiasat kemudian memeriksa rekod dan menemui dua tuntutan lain terhadap syarikat insurans berbeza untuk kerosakan pada kenderaan berlainan iaitu sebuah Mercedes G63 AMG 2015 dan Mercedes E350 2022, namun di lokasi sama.

Kedua-dua tuntutan turut disertakan rakaman video ‘beruang’ sama mengamuk di sekeliling kenderaan.

“Bagi memastikan ia sebenarnya bukan beruang sebenar dalam video itu, jabatan berkenaan  meminta bantuan ahli-ahli  biologi Jabatan Ikan dan Hidupan Liar California untuk menyemak tiga video beruang seperti yang didakwa pembuat tuntutan.

“Mereka juga berpendapat ia jelas manusia yang memakai kostum beruang,” kata jabatan sama dalam satu kenyataan semalam.

“Selepas melaksanakan waran geledah, polis pula menemui kostum beruang di rumah suspek,” tambahnya.

Polis kemudian mendakwa Ruben Tamrazian, 26, Ararat Chirkinian, 39, Vahe Muradkhanyan, 32, dan Alfiya Zuckerman, 39, kerana melakukan penipuan insurans dan konspirasi berhubung tuntutan mereka yang bernilai lebih AS$140,000 (RM628,245).   

Beruang hitam yang hidup di California, kadang kala masuk ke dalam kenderaan untuk mencari makanan dan boleh menyebabkan kerosakan besar.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here