Kajian : Tesla rekod kemalangan maut tertinggi di Amerika

2

Kenderaan Tesla penyumbang kemalangan maut tertinggi berbanding jenama kereta lain di Amerika, menurut kajian iSeeCars yang menganalisis data dari Sistem Pelaporan Analisis Kematian (FARS).

Kajian itu dijalankan ke atas kenderaan model 2018 hingga 2022 dan memfokuskan kes kemalangan maut antara 2017 dan 2022. 



Dapatan kajian, kenderaan Tesla merekodkan kadar kemalangan maut 5.6 setiap bilion kilometer pemanduan. 

Diikuti jenama Kia di tangga kedua dengan kadar 5.5 dan Buick (4.8) melengkapkan tiga teratas. Kadar kemalangan maut untuk semua kereta di Amerika Syarikat ialah 2.8 setiap bilion kilometer kenderaan yang dipandu.

Kajian itu juga mengumpul data berdasarkan model yang mana Tesla Model S merekodkan kadar dua kali ganda daripada purata, 5.8 setiap bilion kilometer pemanduan.

Sementara Model Y yang merupakan kenderaan terlaris di dunia merekodkan kadar kemalangan maut 10.6, hampir empat kali ganda berbanding kadar purata.

Ia disenaraikan sebagai kenderaan keenam terburuk secara keseluruhan. Hyundai Venue menduduki tempat teratas secara keseluruhan, dengan kadar kemalangan maut 13.9.

HASIL KAJIAN BUKAN BERMAKNA KERETA TIDAK SELAMAT

Bagaimanapun, penganalisis menegaskan hasil kajian bukanlah bermakna kenderaan Tesla  tidak selamat atau mempunyai kecacatan reka bentuk.

Malah, kenderaan Tesla dilengkapi dengan segudang teknologi keselamatan yang mana Institut Insurans bagi Keselamatan Lebuhraya (IIHS) menamakan Model Y (2024) sebagai pemenang anugerah Top Safety Pick+. 

Banyak kereta lain yang tersenarai juga menerima penarafan tinggi untuk keselamatan IIHS.

Jadi, mengapa Tesla dan kereta lain yang didatangkan dengan ciri keselamatan tertinggi terlibat dalam banyak kemalangan maut?.

Kebarangkalian, ia mencerminkan gabungan tingkah laku pemandu dan keadaan pemanduan yang membawa kepada peningkatan kemalangan dan kematian.

“Pemandu yang fokus, berwaspada, mematuhi had laju tanpa berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol, mungkin akan tiba dengan selamat tanpa mengira kenderaan yang mereka pandu,” kata Penganalisis Eksekutif iSeeCars, Karl Brauer dalam laporan. 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here