Naza Eastern Motors memperkenalkan varian baharu Suzuki Jimny 3-pintu yang dinamakan Arctic pada harga RM167,900 (tanpa insurans).
Suzuki Jimny Arctic menerima kemas kini pada luaran dan dalaman bagi penampilan lebih bergaya.
Pada bahagian luar menampilkan visor pintu, cermin gelap tiga panel, penutup tayar dengan tema Arctic dan madgad berwarna hitam.
Berbanding Jimny standard, Arctic juga mendapat kemasan putih mutiara pada gril, bampar depan dan belakang, panel rocker dan gerbang roda.
Bagi bahagian dalaman pula anda akan menemui bingkai tebal skrin infotainmen dengan kemasan hitam dan putih, karpet mewah dan tempat duduknya dengan upholsteri kulit Nappa dua rona warna.
Mekanikal masih sama menggunakan enjin 1.5 liter VVT aspirasi semula jadi empat silinder yang menghasilkan kuasa 100hp @ 6,000rpm dan tork 130Nm @ 4,000rpm bersama transmisi 4-kelajuan automatik.
Sebagai tambahan pada Jimny Arctic, Naza Eastern Motors turut menawarkan pilihan warna Pearl White dan Chiffon bagi Jimny tiga pintu.
Untuk masa terhad, pelanggan awal Jimny Arctic bakal menerima rebat sebanyak RM7,000.