Penunggang Y16ZR maut digilis MPV

36

Seorang lelaki maut digilis sebuah MPV selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di KM36 Jalan Klang-Teluk Intan pada Isnin.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 7 malam itu menyebabkan mangsa yang berusia 21 tahun menunggang Yamaha Y16ZR meninggal dunia di tempat kejadian.



Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azharudin Tajuddin berkata siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal terlibat dengan kemalangan sebuah kereta.

“Susulan itu, mangsa terjatuh dan memasuki laluan kenderaan MPV di sebelah kiri yang sama.

“Disebabkan jarak yang dekat, MPV itu gagal mengelak lalu melanggar motosikal tersebut dan akibat perlanggaran mangsa telah digilis dan berada di bawah kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pihak polis masih mengesan pemandu berkenaan kerana meninggalkan lokasi sebaik perlanggaran berlaku. 

Menurut Azharudin, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here