Pihak berkuasa Korea Selatan melancarkan siasatan susulan tiga orang maut semasa melakukan ujian prestasi kenderaan di kilang Hyundai Motor di Ulsan, menurut laporan Reuters.
Difahamkan, dua orang pekerja Hyundai serta seorang kontraktor ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta jam 3.00 petang.
Laporan media menyebut ketiga-tiga mangsa maut akibat kesesakan nafas.
Seorang pegawai bomba memberitahu Reuters pihaknya menerima laporan pertama berhubung kemalangan yang berlaku di kilang No. 4 Hyundai pada jam 3.17 petang.
Hyundai dalam satu kenyataan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk menentukan punca sebenar insiden ini.
Kilang Ulsan merupakan fasiliti pengeluaran terbesar Hyundai yang turut mempunyai pelabuhan sendiri, dengan kapasiti produksi tahunan berjumlah 1.4 juta unit, termasuklah eksport 1.1 juta unit.