Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan Kerugian Selepas Cukai (LAT) sebanyak RM762 juta untuk suku ketiga Tahun Kewangan Berakhir 31 Disember 2024.
LAT tersebut kebanyakannya didorong oleh kerugian pertukaran mata wang asing (forex) yang tidak direalisasi atas penilaian semula hutang di Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd (PPC) dan penilaian semula pinjaman pemegang saham kepada PPC.
Pada suku tersebut, Dolar Amerika (USD) merosot berbanding Ringgit Malaysia (MYR) daripada 4.721 pada 30 Jun 2024 kepada 4.107 pada 30 September 2024.
Keuntungan Selepas Cukai (PAT) Kumpulan dianggarkan pada RM352 juta, jika tidak termasuk kesan kerugian pertukaran mata wang asing.
Kumpulan, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata prestasi kewangan untuk suku tersebut amat terkesan oleh kemerosotan USD berbanding MYR terutamanya daripada pelaburan di PPC.
“Dari segi operasi, prestasi perniagaan teras kami bertambah baik pada suku ketiga 2024 apabila merekodkan penggunaan loji yang lebih tinggi di operasi kami di Malaysia, menyumbang kepada jumlah jualan yang lebih tinggi.
“Kami telah menyelesaikan semua ujian prestasi di unit petrokimia di PPC dan kini sedang bersiap sedia untuk operasi komersial, yang disasarkan akhir tahun ini. Jika USD terus meningkat pada suku keempat ini, kami akan menjangka pembalikan separa terhadap kerugian pertukaran mata wang asing yang tidak direalisasi,” katanya.
PPC merupakan syarikat usahasama 50:50 antara PCG dan Saudi Aramco yang terletak di Pengerang Integrated Complex (PIC), Johor.
Kompleks tersebut terdiri daripada empat polimer dan loji glikol dengan jumlah kapasiti reka bentuk sebanyak 3.0 juta tan metrik setahun.
“PPC ialah syarikat mata wang fungsian USD dan kelemahan USD berbanding MYR baru-baru ini telah mengakibatkan kerugian pertukaran mata wang asing yang tidak direalisasi setelah penilaian semula hutang berjumlah RM536 juta, yang direkodkan oleh PCG,” menurut kenyataan media.
Selain itu, PCG telah menyediakan pinjaman pemegang saham yang didominasikan dalam USD kepada PPC yang juga terdedah kepada pertukaran mata wang asing yang tidak direalisasi berjumlah RM492 juta, disebabkan pergerakan pertukaran mata wang asing yang tidak menguntungkan.
Jumlah kerugian pertukaran mata wang asing pada suku ketiga 2024 ialah RM1.1 bilion dan ini termasuk kerugian pertukaran mata wang asing daripada operasi-operasi lain berjumlah RM86 juta.
Sepanjang tempoh kumulatif sembilan bulan pada tahun kewangan berakhir 2024 pendapatan Kumpulan meningkat 8 peratus tahun ke tahun kepada RM23.2 bilion berbanding 2023, sebahagian besarnya disebabkan oleh jumlah jualan yang lebih tinggi termasuk sumbangan daripada PPC.
Bagaimanapun, Perolehan Sebelum Faedah, Pencukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) menurun 10 peratus tahun ke tahun kepada RM2.8 bilion disebabkan oleh pendapatan negatif yang direkodkan daripada PPC berpunca dari kerugian pertukaran mata wang asing berikutan penilaian semula hutang serta kos operasi yang lebih tinggi.
PAT berkurang 53 peratus tahun ke tahun kepada RM750 juta. PAT Kumpulan dianggarkan pada RM1.7 bilion jika tidak termasuk kesan kerugian pertukaran mata wang asing.