Sekeping gambar telah dimuat naik pada Group Facebook paultan.org Automotive/Car yang memaparkan bahagian belakang sebuah sedan kecil yang dipercayai Proton Saga generasi baharu.
Buat masa ini, tidak dapat diketahui kesahihan gambar yang dimuat naik, namun saiz yang ditunjukkan itu sedikit sebanyak memberikan petunjuk ia sebuah model pengganti Saga sedia ada.
Ada beberapa perincian yang ditunjukkan pada gambar tersebut.
Seperti contoh, rekaan lampu belakang dengan grafik LED moden, bampar belakang dengan kemasan krom, diikuti dengan corong pengisian bahan api yang terletak pada bahagian kiri kereta.
Untuk makluman, kereta-kereta Proton yang bukan berasaskan model Geely (Saga, Persona, Iriz) mempunyai corong pengisian bahan api di sebelah kanan.
Perbezaan kecil ini memberikan petanda Saga baharu mungkin dibangunkan bersama-sama Geely.
Proton Saga generasi ketiga telah pun wujud di pasaran sejak tahun 2016 lagi, dah telah melalui dua fasa facelift iaitu pada tahun 2019 dan 2022.
Adakah anda sedia untuk menerima kehadiran Saga generasi baharu?