Kenderaan Transit Aliran Automatik (ART) atau trem tanpa landasan yang beroperasi di Ibu Kota Nusantara (IKN), Indonesia dilaporkan gagal beroperasi secara autonomi ketika ujian September dan Oktober lalu.
Justeru itu, Indonesia akan memulangkan ART keluaran China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) tersebut.
Sistem ART yang merupakan gabungan antara kereta api, trem, dan bas tersebut merupakan pengangkutan yang dirancang untuk bergerak secara automatik dengan bantuan sensor dan roda di jalan biasa mahupun laluan khas.
Setelah ujian, ART itu masih memerlukan pelbagai penyesuaian, terutama berkaitan teknologi autonomi yang belum sepenuhnya siap.
Pengarah Pembangunan Ekosistem Digital Penguatkuasa IKN, Tonny Agus Setiono menyatakan, pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Perhubungan RI untuk memulangkan trem tersebut tahun ini.
Ujian percubaan ART dilaksanakan pada 12 September hingga 22 Oktober lalu di Pusat Pemerintahan Daerah Kabupaten (KIPP) Nusantara, namun memerlukan campur tangan pemandu dalam situasi kecemasan dan tidak memenuhi kriteria penilaian IKN.
SEHARUSNYA TERIMA ART CRRC ZHUZHOU BUKANNYA CRRC SIFANG
Teknologi autonomi ART keluaran CRRC Sifang itu masih dalam tahap pembangunan dan ujian di negara asalnya sehinggakan masih belum memenuhi standard syarat operasi optimum.
“Sebetulnya Norinco, rakan kongsi penguatkuasa IKN dari China, sempat membawa model ART lain dari CRRC Zhuzhou Institute yang sudah lebih matang dalam pengoperasian.
“ART dari CRRC Zhuzhou Institute telah terbukti berfungsi dengan baik di beberapa kota di China selama 10 tahun terakhir, dan juga beroperasi di negara lain seperti Malaysia, Abu Dhabi, dan Turki.
“Namun, kerana polisi pusat CRRC, akhirnya ART dari CRRC Sifang yang diberi keutamaan untuk diuji cuba di IKN, sementara model CRRC Zhuzhou Institute dikembalikan ke negara asalnya,” jelas beliau.
Bahkan trem CRRC Zhuzhou Institute tersebut sudah tiba di pelabuhan Balikpapan tetapi ia dipulangkan semula ke China susulan polisi syarikat.
SISTEM OPERASI YANG BERBEZA
Trem CRRC Zhuzhou menggunakan sistem panduan berasaskan garis jalan, teknologi yang telah teruji untuk operasi di lalu lintas campuran.
Sistem itu berbeza dengan model Sifang, yang masih dalam tahap pembangunan dan memerlukan kemas kini teknologi untuk mencapai standard yang disyaratkan.
Projek bernilai IDR 210 juta (RM59 juta) itu mampu mengangkut 307 penumpang dengan kelajuan 70kmj.
Selain di Nusantara, Indonesia juga merancang mengembangkan sistem ART di lokasi pelancongan Kuta, Bali untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.
Keputusan membawa masuk ART setelah kunjungan mantan Menteri Perhubungan RI, Budi Karya Sumadi, ke China pada awal Januari lalu.
Indonesia kini membangun hubungan erat dengan China dalam pembangunan infrastruktur kereta api. Selain projek ART, Indonesia juga bekerja sama dengan China dalam projek kereta api laju Whoosh dari Jakarta ke Bandung yang beroperasi Oktober 2023.
Sebelumnya, Indonesia lebih bergantung pada teknologi kereta api dari Jepun. Namun, dalam beberapa tahun terakhir, Indonesia mulai memilih China sebagai kerja sama utama dalam industri pengangkutan umum.