Polis sedang mengesan pemandu Toyota Hilux yang enggan memberhentikan kenderaannya selepas melanggar lampu isyarat merah di persimpangan Jalan Bakri di Muar, awal pagi Rabu.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, dalam kejadian kira-kira 2.45 pagi itu berlaku insiden kejar-mengejar sejauh 180km bermula dari Jalan Bakri sehingga Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Hasil siasatan awal mendapati kejadian bermula ketika kenderaan peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Muar berada di persimpangan berkenaan sebelum Toyota Hilux berwarna gelap itu melanggar lampu isyarat merah.
“Pihak polis meminta pemandu tersebut untuk menghentikan kenderaan bagi pemeriksaan lanjut, namun dia tidak memberi kerjasama dan terus memecut laju bagi mengelak daripada ditahan.
“Susulan itu, kita mengejar kenderaan suspek dengan bantuan daripada polis Melaka, tarik Bukit Aman serta Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan.
Raiz berkata suspek berjaya meloloskan diri apabila kenderaan dipandunya menaiki tebing tinggi yang tidak boleh dilalui kenderaan polis sebelum dia memasuki laluan bertentangan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Usaha mengesan suspek masih diteruskan dan polis membuka dua kertas siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.