100 mat rempit terpaksa tolak motor sejauh 1km

22

Lebih 100 penunggang motosikal terpaksa melakukan ‘senaman malam’ dengan menolak motosikal kira-kira sejauh satu kilometer selepas dikepung di Jalan Persiaran Senawang 1, Seremban, pada Ahad.

Operasi Khas Samseng Jalanan dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan bermula jam 2 pagi sehingga jam 5 pagi itu turut mengeluarkan sebanyak 321 saman atas pelbagai kesalahan.



Ketua JSPT Negeri Sembilan, Muhammad Zaki Ramat berkata operasi di lokasi berkenaan dilakukan susulan aduan aktiviti samseng jalanan terutama malam minggu.

“Kita telah terima aduan beberapa kali daripada orang awam yang terganggu dengan bunyi bising geng motosikal ini yang berlumba sesama mereka sambil mempamerkan aksi berbahaya.

“Lagipun di situ berhampiran kawasan perumahan dan kalau kita tengok mereka ini akan mula aktif sekitar jam 12 tengah malam hingga 3 pagi,” katanya.

Tambah beliau, kumpulan itu awalnya didapati datang ke Senawang untuk makan dan lepak tetapi mula teruja menguji kelajuan apabila berkonvoi untuk pulang.

“Mereka juga seronok untuk beraksi di laluan berkenaan kerana menganggap aksi mereka ditonton orang ramai.

“Kalau kita tengok orang ramai penuh di kedai-kedai makan di situ. Walaupun tak semua terlibat, tapi ada yang datang melihat aksi mat rempit ini.

“Ia sebenarnya boleh menggalakkan lagi aktiviti ini dan kita dapati ada yang sampai bawa kerusi ‘healing’ hanya untuk menonton aksi tersebut,” katanya.

Dalam operasi itu, tiga lelaki termasuk seorang berusia 13 tahun ditahan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 108(3)(f).

“Dua daripada mereka didapati menunggang motosikal secara berbahaya apabila melakukan aksi ‘wheelie’ dan seorang lagi menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Menurutnya, kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi paling tinggi iaitu 69 kes diikuti tiada lesen memandu (49 kes) dan tiada cermin sisi (44 kes).

 

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here