Keperluan undang-undang berkaitan penyebaran maklumat palsu, ketidakcekapan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), dan penyeragaman bayaran tol antara isu yang akan dibincangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Riduan Rubin (Bebas-Tenom) meminta Menteri Komunikasi menyatakan sama ada kementerian bercadang menggubal undang-undang yang komprehensif, inklusif dan sesuai dengan peredaran zaman berkenaan penyebaran maklumat palsu kerana ia berisiko menimbulkan kegentaran dan mengganggu ketenteraman awam, pada sesi soal jawab.
Selain itu, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mahu Menteri Kerja Raya menyatakan usaha bagi menyelesaikan ketidakcekapan sistem RFID di lebuh raya sehingga menyusahkan pengguna.
Beliau turut bertanyakan sama ada kerajaan bercadang untuk menyeragamkan sistem bayaran tol di seluruh negara.