Bakal perkenal versi facelift, Tesla ‘potong harga’ Model Y sebanyak RM6K

18

Bakal memperkenalkan versi facelift, Tesla menawarkan diskaun bagi Model Y dalam tempoh terhad di China.

Kereta elektrik (EV) Amerika Syarikat itu menerusi laman sosial Weibo menyatakan pelanggan yang menempah dua varian terendah Model Y antara 25 November dan 31 Disember layak menerima diskaun CNY10,000 (RM6,148).



Tesla Model Y di China ditawarkan dengan pilihan pengenalan asas (pacuan roda belakang), long range (pacuan semua roda) dan performance (pacuan semua roda) pada harga bermula daripada CNY249,900 (RM153,645).

Tawaran potongan harga itu hanya sah bagi model pengenalan asas dan long range serta pelanggan yang mendaftarkan kenderaan menjelang 31 Disember.

Selain itu, Tesla juga melanjutkan tawaran insentif pembiayaan sifar peratus faedah selama 5-tahun yang terpakai kepada semua varian Model 3 dan Model Y sehingga 31 Disember. Insentif berkenaan diperkenalkan pada 3 April dan merupakan yang pertama di China.

Kali terakhir Tesla mengumumkan lanjutan program pembiayaan tanpa faedah 5 tahun adalah pada 27 Oktober dan melanjutkan tawaran kepada 30 November.

MODEL Y SUMBANG 74.67 PERATUS JUALAN KESELURUHAN

Tawaran diskaun Model Y menandakan kemunculan versi facelift tidak lama lagi yang mana ia merupakan salah satu model EV paling popular di China.

Dari Januari sehingga Oktober 2024, sebanyak 373,852 Model Y dijual di negara itu dengan peningkatan 7.91 peratus tahun ke tahun.

Dalam tempoh tersebut, Model Y menyumbang 74.67 peratus daripada 500,685 penghantaran Tesla di China, dan Model 3 menyumbang 25.33 peratus dengan 126,833 unit.

Hujung bulan lalu, blogger China mendakwa kilang Tesla di Shanghai mula bersiap untuk pengeluaran Model Y yang dikemas kini.

Sepanjang bulan lalu, gambar intip yang dikatakan sebagai Model Y baharu telah muncul di media sosial.

Pada 1 Mac 2023, Reuters melaporkan Tesla bersedia untuk pengeluaran versi kemas kini Model Y dengan nama kod Project Juniper, yang melibatkan bahagian luar dan dalam dengan sasaran pengeluaran pada 2024.

Pada 9 Jun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk berkata tiada Model Y facelift akan keluar tahun ini, selepas khabar angin mula beredar. 

Pada 29 Ogos, saluran media China tempatan LatePost melaporkan bahawa Tesla merancang untuk melancarkan dua versi terkini Model Y pada 2025.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here