Anda kini boleh tempah ‘Dodge Challenger’ palsu buatan Jepun, 100 unit sahaja

14

Syarikat Mitsuoka merupakan antara ‘destinasi’ pilihan bagi mereka yang mahukan kereta-kereta moden yang telah disuntik pendekatan rekaan klasik dan berbeza daripada arus perdana.

Salah satu contoh yang dibawakan oleh syarikat tersebut ialah M55.

Model ini asalnya ialah sebuah hatchback segmen C Honda Civic FL1 sebelum diberikan nafas klasik seakan sebuah kereta muscle Dodge Challenger.



Versi konsep Mitsuoka M55 ini telah pun diperlihatkan kira-kira setahun yang lalu bersempena dengan sambutan ulang tahun Mitsuoka yang ke-55.

Kini, anda boleh membeli model produksi sebenar M55 Zero Edition di mana hanya 100 unit sahaja kereta ini akan diproduksikan, setiap satu berharga 8,085,000 yen (RM235 ribu).

Mungkin sukar untuk anda percaya ini ialah sebuah Honda Civic, tapi ia boleh dibuktikan menerusi bentuk tingkap sisi yang masih lagi dikekalkan, diikuti dengan susun atur ruang kabin.

Paling penting, M55 Zero Edition ini dikekalkan dengan enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo berkuasa 180 hp dan 240 Nm yang dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan – sama macam Honda Civic!

Tempahan untuk M55 Zero Edition akan dibuka sehingga 19 Januari 2025, di mana para pembeli bertuah akan dipilih menerusi cabutan undi.

Untuk melayakkan diri, para pelanggan yang berminat perlu membayar yuran permohonan berjumlah 550,000 yen (RM15,954) yang akan dipulangkan semula sekiranya nama tidak terpilih dalam senarai.

APA KATA ANDA?

Please enter your comment!
Please enter your name here