Kereta merupakan lambang kejayaan individu…ini mentaliti segelintir rakyat Malaysia.
Maka tidak hairan ada yang gaji bulanan di bawah RM2,000 berhasrat meminang kereta berharga RM80,000 ke atas. Ini bukan sembang kedai kopi namun antara ragam pelanggan yang dilalui pembantu jualan.
Ada antara pelanggan bertanyakan model pilihan yang tidak sepadan dengan kemampuan, ibarat tidak ukur baju di badan sendiri.
Baru-baru ini, seorang pengguna berkongsi keluhan bebanan bayaran bulanan Honda Civic RS (2024) miliknya. Catatan itu dikongsi semula akaun Facebook Media Hutan.
Pemuda itu memperincikan pendapatan dan perbelanjaan bulanannya yang mana hanya ‘cukup makan’ saja menjelang gaji seterusnya.
Tulisnya dia berasa terbeban menggunakan sedan segmen C berkenaan kerana baki gaji bersihnya hanya RM500.
Dengan gaji RM4,200, selepas potongan EPF dan Socso gaji bersihnya hanyalah RM3,700. Ini perbelanjaan bulanan pemuda berkenaan:
- Ansuran bulanan Civic : RM1,300
- Bilik sewa : RM500
- Makanan : RM600
- Duit ibu/bapa: RM200
- Minyak: RM200
- Belanja teman wanita: RM200
- Balik kampung : RM200
Susulan perkongsian berkenaan, pemuda itu meminta pandangan netizen perlukah dia melakukan e-hailing bagi menampung kos perbelanjaan.
Bagaimana menurut anda?…
BERAPA GAJI BERSIH LAYAK BELI HONDA CIVIC RS?
Civic RS dijual pada harga RM151,900 yang mana pendapatan bulanan minimum perlulah sekitar RM7,000.
Pemilik perlu mengeluarkan deposit sebanyak RM15,190 dan jumlah pinjaman yang diterima adalah RM136,710 dengan kadar faedah 2.5 peratus.
Ansuran bulanan yang perlu dibayar adalah:
- 9-tahun: RM1,550.65
- 5-tahun: RM2,563.31