Anak kepada penyanyi terkenal 90-an dan rakannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri kereta Ferrari yang ditinggal di pusat cuci kereta di Hulu Klang, dua minggu lalu.
Tertuduh, Norqyyum Zainori, 29, dan anak penyanyi itu, Mohd Alif Naim Mohd Azmir, 38, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.
Mengikut pertuduhan utama, kedua-dua penganggur itu didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas dengan niat curang mencuri sebuah kereta Ferrari bernilai RM300,000 daripada milikan seorang wanita berusia 53 tahun di sebuah pusat cuci kereta di Jalan Hillview, Hulu Kelang pada 11.08 pagi, 17 November lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama yang boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Sementara itu, bagi pertuduhan pilihan, mereka didakwa bersama-sama seorang yang masih bebas menyimpan harta curi iaitu sebuah kereta Ferrari bernilai RM300,000 daripada milikan wanita sama dengan mengetahui harta itu adalah harta curi.
Oleh itu mereka didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal manakala Mohd Alif Naim diwakili peguam Mohd Firdaus manakala Norqyyum diwakili peguam Wan Nur Afifah Che Bakar.
Atas pengakuan tidak bersalah kedua-duanya, Wan Nur Iman menawarkan jaminan masing-masing RM4,000 dengan seorang penjamin.
Amalina Basirah kemudian membenarkan jaminan masing-masing RM3,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 6 Februari depan.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan, anak seorang penyanyi tempatan antara enam individu ditahan selepas disyaki terbabit kes kecurian sebuah Ferrari yang ditinggalkan di pusat cuci kereta di Hulu Klang, di sini 17 November lalu.