Volkswagen terpaksa mengambil langkah sukar dalam usaha untuk menyusun kembali operasi perniagaannya di peringkat global.
Selain daripada kemungkinan penutupan kilang di Jerman, Volkswagen juga dilapor menjual kilang yang dioperasikan oleh syarikat kerjasama dengan SAIC di wilayah Xinjiang.
Kilang Xinjiang sudah beroperasi sejak tahun 2013 dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 50,000 unit setahun, namun fasiliti tersebut tidak lagi menghasilkan model kenderaan sejak 2019.
Selain daripada kilang tersebut, Shanghai Motor Vehicle Inspection Certification (SMVIC) akan turut mengambil alih litar ujian VW/SAIC yang terletak di Turpan, Xinjiang dan Anting, Shanghai.
Menurut laporan Nikkei Asia, penjualan kilang tersebut berlaku selepas pihak terbabit menerima tekanan luar untuk meninggalkan kawasan di mana berlakunya penderaan terhadap populasi tempatan Uyghur sejak bertahun-tahun lamanya.
Namun begitu, Volkswagen dan pihak berkuasa Beijing menafikan dakwaan tersebut.
Dalam laporan yang sama, Volkswagen akan terus memperkukuh hubungan dengan SAIC, di mana syarikat JV itu menyasarkan 18 buah model baharu menjelang 2030 termasuklah dua model penambah jarak pada tahun 2026.
Selain SAIC, Volkswagen turut menjalin kerjasama dengan syarikat pemula Xpeng, dengan lebih 30 buah model EV dan hibrid dirancang menjelang tahun 2030.