PRO-NET, Proton New Energy Technology dan EV Connection (EVC), pengendali rangkaian pengecasan kenderaan elektrik (EV) JomCharge, melancarkan Program Infrastruktur Pengecasan EV Kondominium ‘PRONET-EVC’.
Di bawah program itu, EVC akan memperuntukkan dana untuk pemasangan pengecas EV di 100 kondominium yang pada masa ini tidak mempunyai kemudahan pengecasan EV.
Selain itu, kedua-dua syarikat juga akan bekerjasama untuk memastikan kadar pengecasan yang kompetitif di sekitar 70 kondominium yang telah menjadi sebahagian daripada rangkaian JomCharge.
Hal ini menandakan pengembangan kerjasama sedia ada antara PRO-NET dan EVC yang kini mengendalikan pembekalan, pemasangan, operasi, dan penyelenggaraan pengecas dinding rumah untuk pemilik smart—dengan lebih daripada 400 pemasangan berjaya diselesaikan setakat ini.
Selain itu, JomCharge milik EVC, salah satu rangkaian pengecasan terbesar di Malaysia, telah diintegrasikan ke dalam rangkaian pengecasan PRO-NET, dengan menawarkan sekitar 600 poin pengecasan dan menyediakan 2,000 sesi pengecasan sejak pelancaran kenderaan smart.
Bagi kondominium yang tidak mempunyai kemudahan pengecasan EV, mereka boleh menghantar minat untuk memasang pengecas EV percuma ini melalui laman web EVC.
Permohonan itu akan disemak oleh EVC dan PRO-NET. Pemohon berjaya layak menerima pakej percuma yang merangkumi pengecas EV, kerja infrastruktur diperlukan untuk pemasangan pengecas, kos penysuaian, sistem pengurusan pengecas, dan integrasi ke dalam rangkaian JomCharge.
Malah, kondominium itu juga layak berkongsi keuntungan/hasil melalui program ini. Kadar pengecasan ditetapkan pada harga yang sangat kompetitif iaitu RM0.70/kWh untuk kondominium ini.
Kadar Pengecasan Kompetitif
Pengecasan AC |
Item |
Kadar Harga (kWh) |
Harga Pasaran |
Purata RM1.00 per kWh |
|
Kondominium EVC |
RM 0.70 |
|
PRO-NET (smart & e.MAS) |
RM 0.63 (Diskaun 10% daripada kadar JomCharge – per kWh / min) |
Dari segi harga untuk kondominium baharu yang disebutkan di atas dan juga bagi kondominium sedia ada dalam rangkaian JomCharge, pengguna Proton e.MAS 7 akan menikmati diskaun tambahan 10 peratus daripada kadar pengecasan semasa bermula Januari 2025.
Ini bermakna kadar yang sangat kompetitif iaitu RM0.63/kWh – hampir sama dengan kadar tarif kediaman TNB untuk pemilik hartanah berstrata. Begitu juga, pengguna di kondominium yang mempunyai kadar pengecasan berasaskan masa juga akan mendapat manfaat daripada diskaun ini.