Berita kurang enak buat para peminat Supra, di mana Toyota akhirnya akan menghentikan penawaran model GR Supra (A90) menjelang tahun hadapan.
Pengenalan model GR Supra A90 Final Edition secara tidak langsung turut menamatkan harapan sesetengah pihak yang mahukan sebuah Supra GRMN yang lebih ‘hardcore’.
Namun usah risau kerana A90 Final Edition ini sememangnya direka untuk mereka yang mahukan kuasa ekstra daripada sebuah GR Supra.
Enjin asal B58 3.0 liter enam silinder sebaris turbo itu telah ditala supaya menghasilkan 429 hp dan 570 Nm, lebih tinggi berbanding angka kuasa kuda asal 382 hp/500 Nm.
Kuasa tersebut disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi manual enam-kelajuan.
Antara perubahan yang dibawakan termasuklah rim 19 inci di depan dan 20 inci di belakang, balutan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2, brek hadapan Brembo 19 inci, sistem gantungan KW boleh laras, serta peredam ekzos titanium Akrapovič.
Aspek aerodinamik telah ditambah baik, di mana A90 Final Edition ini turut dipasangkan spoiler hadapan, canard hadapan, liang udara pada hud enjin dan sayap belakang leher angsa yang diperbuat daripada gentian karbon.
Untuk ruang kabin, A90 Final Edition ini mendapat tempat duduk gentian karbon Recaro, tali pinggang keledar merah serta balutan bahan Alcantara.
Toyota turut mengemaskini model Supra 3.0 edisi Lightweight Evo, di mana varian berkuasa 382 hp/500 Nm itu menerima brek Brembo yang lebih besar, pendakap bawah lantai belakang yang diperkukuh, penstabil depan dan belakang aluminium, serta spoiler ekor itik gentian karbon.
Tidak cukup dengan itu, GR Supra 3.0 itu mendapat sistem stereng EPS yang telah disemak semula, penyerap hentak, set rim hitam kusam dan sudut camber roda yang telah diubah.