51 tahun selepas kemunculan BMW R 90 S, BMW Motorrad akhirnya melancarkan model R 12 S sebagai satu penghormatan kepada model ikonik tersebut.
Reka bentuk R 12 S sememangnya banyak diinspirasikan daripada model klasik R 90 S, menampilkan unit lampu utama tunggal berbentuk bulat dikelilingi oleh skrin penghadang angin yang melengkung.
Pembeli juga boleh memilih untuk memadankan rim lidi Option 719 Classic II, sama seperti apa yang wujud pada model R 90 S.
R 12 S dikuasakan oleh enjin dua silinder bersesaran 1,170 cc menghasilkan 109 hp @ 7,000 rpm dan daya kilas 115 Nm @ 6,500 rpm.
Enjin ini digandingkan dengan transmisi enam-kelajuan, di mana pecutan 0-100 km/j hanyalah sekitar 3.6 saat sahaja.
Ciri lain termasuklah fork hadapan jenis upside-down 45 mm di hadapan, suspensi belakang tunggal boleh laras, rotor brek berkembar 310 mm dengan angkup empat omboh di depan diikuti rotor brek 265 mm dengan angkup dua omboh di belakang.
BMW turut melayangkan warna hitam pada sesetengah komponen seperti penutup gegelung pembakaran, pelindung kepala silinder, tempat pemijak kaki, serta tuil brek dan klac untuk penampilan yang lebih garang, sebelum diakhiri dengan warna Lava Orange Metallic yang diinspirasikan daripada model asal.
Ciri keselamatan moden juga wujud pada R 12 S termasuklah bantuan mula mendaki, Gear Shift Assist Pro, kawalan jelajah, serta sistem pencahayaan selekoh adaptif.
Di Amerika Syarikat, BMW R 12 S (2025) dijual pada harga $21,590 (RM96,518).